Saturday, August 6, 2011

Apabila kita redha...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

Januari 2011, Kem PLKN Batu Jong, Kuala Krai..

Sedang aku bergembira bersama teman-teman, ibuku menelefonku, menyatakan bahawa aku mendapat surat tawaran ke Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa. Pada mulanya aku juga gembira kerana terpilih, tetapi apabila aku memikirkannya semula, jika aku menerima tawaran itu, aku akan terlepas peluang untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Aku yakin dengan keputusan SPMku, aku mampu melanjutkan pengajian ke luar negara..namun, adakah itu satu kepastian?

Aku bertanya kepada teman-teman, perlukah aku menerimanya? Atau menolaknya? Ya Allah, apakah yang perlu aku lakukan? Maka, aku menunaikan solat istikharah, bertanya pendapat guruku, abangku, kakakku dan orang yang telah pun belajar di UIA..lalu, aku membuat kesimpulan untuk menolak. Aku gembira berada di kem itu bersama sahabat-sahabat baru dan sahabat lama yang telah berpisah selama dua tahun. Aku masih belum puas berbual bersama mereka, mengeratkan kembali ukhwah yang mungkin kian pudar..aku nekad, aku menolak!



29 Januari 2011
Aku mendaftar di Pusat Asasi UIA Petaling Jaya..sejujurnya hatiku menolak tetapi, aku tidak mampu menghampakan harapan ibu bapaku. Mereka amat menginginkan aku masuk ke universiti itu. Maka, jiwaku kosong, tidak bersemangat untuk belajar, tidak fokus dan akhirnya..

Mei 2011
Keputusan untuk semester pertama dikeluarkan. Keputusanku? Fuh, nasib baik! Cukup-cukup makan! Aku hanya melepasi syarat kelayakan untuk membolehkan aku melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan..nasib baik lepas!

Aku merenung sejenak, kesilapanku..tidak serius dalam menuntut ilmu, sedangkan ini adalah amanah, aku sedang menggunakan duit rakyat untuk membiayai pengajiannku, mungkin Allah sedang mengajar aku, mengajar aku erti redha..apabila aku redha bahawa aku memang ditakdirkan untuk belajar di UIA, bukan di MSU atau Ireland, atau India atau mana-mana tempat, hatiku mula mampu menerima..satu demi satu ilmu itu mudah difahami, mudah diingati...ya, apabila kita redha..itulah yang berlaku..

Jadi sahabat-sahabat, apabila sesuatu berlaku tidak seperti yang kita harapkan, maka redha..itu ialah ubat terbaik kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

....tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui” (Al-Baqarah: 216)



No comments: