Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..
Februari 2011...
“Jom pi KLCC, nak? Hujung minggu ni ada rehlah ngan senior,” sahabatku bertanya kepadaku. Tanpa berfikir panjang aku terus mengangguk kerana aku juga tiada apa-apa perancangan pada hujung minggu itu.
Maka, dengan izin Allah aku ke KLCC bersama dua orang sahabatku dan senior-senior yang lain. Ketika aku bersama mereka, entah kenapa buat pertama kalinya aku berasa malu. Kerana apa? Kerana aku berasakan bahawa tudung aku terlalu nipis dan memang nampak leher. Memang ramai yang memakai tudung seperti aku namun, mereka memakai 'inner' tudung di dalamnya.
Ketika ingin pulang, kami menaiki komuter. Aku berdiri berdekatan dengan seorang lelaki yang juga menyertai aktiviti tersebut. Di tangannya ada sebuah buku ilmiah, lagaknya seperti seorang yang sangat bagus, menggunakan masa yang ada dengan sesuatu yang bermanfaat iaitu membaca. Ketika itu, aku semakin malu, tersangat malu dengannya dan juga semua yang berada di sekelilingku hanya kerana tudungku itu.
Maka, aku nekad untuk menukar tudungku. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar walaupun mengambil masa yang agak lama.
Dulu, ketika di sekolah aku sering mengingatkan diriku bahawa tudung itu dipakai untuk menutup tiga benda iaitu rambut, leher dan dada. Jadi, jika aku memakai tudung tetapi salah satu anggota itu terdedah maka tiada makna untuk bertudung (ini hanya pendapat aku sendiri).
Sesungguhnya, hijab itu indah. Allah berfirman dalam Al-Quran, maksudnya,
“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, “Hendaklah menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang” (Al-Ahzab:59)
Sudah terang nyata dan bersuluh, Allah memberitahu kita bahawa dengan berhijab akan melindungi diri kita. Betul! Aku berasa lebih selamat dengan melabuhkan tudungku. Namun, hijab itu bukan hanya terletak pada tudung sahaja. Seluruh anggota badan kita perlu dilindungi.
Jadi, aku menyeru diri ini dan juga nisa' sekalian, lindungilah diri kita kerana kita amat-amat berharga. Jadilah seperti mawar yang berduri, yang sentiasa melindungi dirinya daripada dipetik oleh tangan-tangan yang kasar. Islam itu datang untuk mengangkat martabat wanita, jadi mengapa kita sendiri ingin menjatuhkannya? Fikir-fikirkanlah, tepuk dada tanya iman! Wassalam..
No comments:
Post a Comment