Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..
“Hujung minggu ni ada daurah di masjid depan Sunway Pyramid. Siapa boleh datang?” murabbiku bertanya kepada aku dan juga akhawat yang lain. Namun, tiada seorang pun antara kami yang mengangkat tangan untuk pergi.
“Minggu depan, kitorang ada exam,” aku bersuara mewakili ahli usrahku yang lain.
“Owh, minggu depan exam, tapi sepatutnya dah prepare awal-awal kan? Baiklah, mungkin kali ni bukan rezeki adik-adik untuk pergi. Kalau boleh, lepas ni prepare awal-awal untuk exam supaya antunna tak terlepas program-program macam ni. Allah sedang menapis kita sekarang ni, jadi dalam setiap tapisan Allah itu, cuba fikirkan kenapa kita tidak terpilih? Kenapa kita tidak termasuk orang yang berjaya ditapis?” kata-katanya itu menusuk kalbu. Usrah kami berakhir ketika waktu tengah hari.
Malam itu, abangku menelefonku. Aku memberitahunya bahawa pada esok hari akan diadakan daurah bertajuk Ini Sejarah Kita (ISK).
“Kenapa tak pergi? Rugilah! ISK tu lah daurah yang paling terkesan di hati along. Jadi, kalau boleh, along nak adik-adik along rasa la apa yang along rasa. Pasal exam tu, memang lah tak dapat elak, tapi manalah tahu Allah nak tolong. Sebenarnya yang penting ialah kualiti, bukannya kuantiti. Manalah tahu, mungkin dalam kita belajar selama 1 jam tu, semua benda masuk dalam kepala. Bagi pendapat along la, kalau achik yakin achik akan manfaatkan sepenuhnya pada hujung minggu tu untuk belajar, then go on la, tapi kalau rasa cam lebih banyak tidur daripada belajar, better pergi daurah. Fikir-fikirkanlah,” panjang lebar abangku berbicara.
Aku mengambil keputusan untuk pergi. Tetapi, aku tidak mempunyai teman, maka aku menghantar mesej kepada seorang sahabatku. Alahamdulillah! Rupa-rupanya dia juga ingin pergi, cuma tidak berani untuk mengangkat tangan ketika ditanya kerana tiada sesiapa yang ingin pergi. Aku bertanya kepada murabbiku cara-cara untuk pergi ke masjid itu.
Ya Allah, aku pergi untuk mencari cintaMu, maka permudahkanlah urusan aku dan sahabatku untuk ke sana. Doaku di dalam hati.
Pada pukul 7.30 pagi keesokannya, aku dan juga sahabatku bertolak daripada asrama. Jika diikutkan peraturan sebenar, kami hanya dibenarkan untuk keluar pada pukul 9.00 pagi. Namun, Alhamdulillah, Allah melembutkan hati pengawal keselamatan yang menjaga pintu pada hari itu untuk mengizinkan kami pergi. Maka bermulalah pengembaraan kami.
Daripada UIA, kami menaiki bas menuju ke KL Sentral. Kami mengambil tiket ke Subang Jaya. Ketika menunggu KTM, aku melihat sekumpulan muslimah yang sedang membawa beg pakaian. Aku mengagak, kemungkinan besar arah tuju kami adalah sama. Di dalam KTM, aku dan juga sahabatku duduk bertentangan dengan dua orang di antara ahli kumpulan itu. Beberapa lama kemudian, kami berbual. Memang betul sangkaanku bahawa arah kami adalah sama.
Alhamdulillah, Allah permudahkan lagi urusan kami. Berjalan bersama mereka dalam satu kumpulan membuatkan aku dan sahabatku berasa lebih selamat. Tidak lama kemudian, kami tiba di masjid itu. Aku bersyukur kerana segalanya berjalan lancar. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memudahkan segala-galanya.
Aku berharap daurah ini akan membawa aku kepada cintaMu Ya Rabb...
1 comment:
salam~
Post a Comment